• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

73 Kekosongan Jawatan PPP Perlu Diisi Segera

Mohd Zabidi berucap di di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (BDC) Kali Ke 24 KKPPPSM di Grand Puteri Hotel hari ini.
KUALA TERENGGANU, 18 September - Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia (KKPPPSM) memohon agar Kerajaan Malaysia mengisi segera sebanyak 73 kekosongan jawatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) gred U41.

Presiden KKPPPSM berkata, Mohd Zabidi Mohd Taha berkata, jawatan itu masih kosong sejak tahun 2015 lagi.

Katanya, beberapa sesi perjumpaan dengan pihak tertentu telah diadakan untuk memohon agar kekosongan jawatan tersebut diisi segera.

Ahli KKPPPSM di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (BDC) Kali Ke 24 KKPPPSM di Grand Puteri Hotel hari ini. 
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (BDC) Kali Ke 24 KKPPPSM di Grand Puteri Hotel di sini hari ini.

Kira-kira 300 orang ahli KKPPPSM hadir di majlis berkenaan.

Kesatuan itu katanya turut memohon supaya mengurangkan tahun bagi pengisian gred flexi PPP U41, U42 dan U44 dari lapan tahun kepada hanya enam tahun sahaja.

“Begitu juga PPP U44 ke gred U48 selama tiga tahun sahaja kerana mengambil kira perkhidmatan sebagai PPP di gred sokongan sebelumnya.

“Kebanyakan anggota terlibat telah berkhidmat sebagai PPP lebih dari lima tahun di gred U29 atau U32 atau U36 sehingga gred U41 atau U42.

“Kesatuan merasakan adalah wajar perkhidmatan sebelumnya diambil kira bagi tujuan naik pangkat yang lebih tinggi,” jelasnya.

Kesatuan juga menurutnya memohon supaya kerajaan mewujudkan gred PPP U48 sekurang-kurangnya satu penyandang bagi setiap negeri sebagai Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri (KPPPN) dan menaik taraf serta memperakui pengisian gred flexi U44 yang telah sedia ada di setiap hospital negeri berpakar sebagai Ketua Penyelia atau PPP.

Kesatuan juga memohon agar kajian dibuat ke atas Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

“Kesatuan memohon supaya bayaran ini disamaratakan dengan profesion kejururawatan di mana 10 peratus untuk gred P&P dan 15 peratus untuk gred sokongan.

“Perkara ini telah lama dibincangkan dan telah ditangguhkan dahulu kerana masalah kegawatan ekonomi.

“Besarlah harapan kesatuan agar BIPK ini dipertimbangkan semula secepat mungkin menjelang tahun depan,” ujarnya.


Tag: