74 Jemaah Haji DUN Buluh Gading Dirai

KUALA TERENGGANU, 30 April – Seramai 74 orang bakal jemaah haji dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading diraikan dalam satu majlis penuh bermakna sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, keraian itu merupakan kali pertama ia diadakan.

"Sebelum ini hanya berpeluang bertemu para jemaah secara individu, namun kali ini dapat disatukan semua dalam satu majlis penuh bermakna, sebagai tanda penghargaan dan doa buat mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah swt.

"Majlis ini juga memberi peluang untuk kita saling bertemu dan berkenalan, memandangkan ada kemungkinan para bakal haji sendiri tidak mengetahui siapa lagi dalam kalangan komuniti kita yang turut terpilih menunaikan haji pada tahun ini.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Muslimin dan Muslimat yang terpilih oleh Allah SWT daripada kalangan 36,600 jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Keraian Bakal Haji 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, di sini , baru-baru ini.

Ridzuan juga mengingatkan agar para jemaah haji sentiasa menjaga niat sepanjang berada di Tanah Suci, beribadat semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT.

“Jauhkanlah dari sifat ingin menonjolkan diri, menunjuk-nunjuk, atau berbangga dengan amalan yang kita lakukan. Sebaliknya, kita perlu mengamalkan sifat tawaduk, bersabar atas segala ujian dan cabaran yang dihadapi.

“Ringankan tangan untuk membantu saudara-saudara kita yang lain, supaya Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kesulitan kita ketika berada di sana. 

"Semoga semua jemaah haji diberikan kesihatan yang berpanjangan, dipermudahkan segala urusan, dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dari awal hingga akhir, dan akhirnya memperoleh haji yang mabrur,” ujarnya lagi.

Kesemua jemaah haji yang diraikan menerima sumbangan berbentuk Riyal Arab Saudi dan cenderamata. 


Tag: