• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci

KUALA TERENGGANU, 28 April - Seramai 770,000 atau 61 peratus daripada 1.26 juta penduduk di negeri ini selesai dibanci meliputi 220,000 tempat kediaman setakat tempoh sehingga semalam.

Ketua Perangkaan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Banci Malaysia 2020 mendapat kerjasama yang baik daripada seluruh penduduk negeri Terengganu.

Bagaimanapun katanya, bagi respon mengikut etnik pula, kaum Cina dan India mencatatkan peratus respon yang agak rendah iaitu masing-masing 27 dan 20 peratus.

“Respon penduduk yang melebihi 70 peratus melibatkan daerah Setiu (98.59 peratus), Besut (78.65 peratus), Marang (78.1 peratus), Hulu Terengganu (71.82 peratus) dan Kuala Nerus (71.1 peratus). 

“Manakala Kuala Terengganu (67.08 peratus), Kemaman (55.56 peratus) dan Dungun (54.61 peratus) mencatatkan kadar respon di bawah 70 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program turun padang operasi Banci Malaysia 2020 di Seberang Takir, hari ini.

Katanya, dengan kekuatan 300 pembanci beliau yakin, kesemua daerah di Terengganu disasarkan akan selesai sepenuhnya kerja-kerja pembancian di lapangan pada pertengahan Jun ini.

“Hari ini kita adakan program turun padang di Terengganu bertujuan memantau operasi Banci Malaysia 2020 secara bersemuka di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka dan operasi pembancian. 

“Program sebegini secara tidak langsung dapat menyebarluaskan maklumat mengenai program Banci Malaysia 2020 secara bersemuka yang sedang dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2021.

“Diharap program publisiti seperti ini akan membantu hebahan di kalangan kaum Cina dan India  selain Melayu untuk memberi respon kepada pihak kami samada menerusi kaedah bersemuka ataupun secara atas talian,” ujarnya.

Katanya, Banci Malaysia 2020 amat penting bagi kerajaan medapatkan data untuk merancang pembangunan termasuk pendidikan, kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik.

“Data yang dikumpul menjadi sumber utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dalam merangka program serta inisiatif yang lebih bersasar untuk rakyat,” jelasnya.

Menurut beliau, diperingkat negara, jumlah penduduk yang telah dibanci sehingga semalam adalah seramai 17.02 juta orang atau 52.1 peratus berbanding 32.7 juta anggaran penduduk tahun 2020.