• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

78 Ekor 'Kambing Haram' Ditangkap

KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu merampas 78 ekor kambing disyaki diseludup secara haram dari negara jiran, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bermula dengan pemantauan unit penguatkuasa JPV Negeri Terengganu di sekitar sempadan Kelantan-Terengganu, JPV telah mengekori sebuah lori selama kira-kira sejam sebelum tangkapan dibuat di Jalan Penarik, Setiu.

"78 ekor kambing dirampas tiada sebarang dokumen dan permit pemindahan dianggarkan bernilai sekitar RM100 ribu. Kambing-kambing ini dibungkus dalam guni dan semua hasil tangkapan dibawa ke JPV Negeri Terengganu serta akan disiasat di bawah seksyen 36 Akta Binatang 1953. 

"Berdasarkan keterangan daripada pemandu lori dan kelindan dalam siasatan awal, kambing-kambing itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar beberapa negeri tetapi tidak dinyatakan secara jelas destinasi terakhir akan dibawa. Ia bukan dipasarkan dalam negeri Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat JPV Negeri Terengganu, tengah malam tadi.

Hadir sama, Pengarah JPV, Dr Anun Man dan Ketua Bahagian Penguatkuasa, Mohd Shahihan Mohd Tahar.

Menurut Dr. Azman, tangkapan tersebut merupakan kes ke-12 tangkapan kambing yang disyaki diseludup pada tahun 2023 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 521 ekor kambing melibatkan nilai kira-kira RM1.1 juta.

"Fenomena kambing viral dengan harga murah yang berleluasa ketika ini merupakan satu perkara yang  sangat membimbangkan kerana masyarakat kita hanya melihat pada harga kambing tanpa mengambil kira ia dibawa melalui beberapa sempadan antarabangsa tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan dan proses kuarantin.

"Pemeriksaan kambing yang telah disembelih mendapati banyak organ yang telah mengalami kerosakan buah pinggang, paru-paru dan hati yang memberi simptom bahawa kambing ini berdepan dengan masalah non tuberculosis.

"Kita sangat bimbang sekiranya penyakit ini dikategorikan sebagai zoonotik iaitu penyakit pada binatang yang boleh berjangkit kepada manusia," ujarnya.

Beliau turut berharap supaya rakyat melihat perkara berkenaan dengan sedikit kesedaran.

"Jangan hanya lihat harga murah sehingga merisikokan diri dan keluarga kita untuk memakan produk dari haiwan yang tidak dijamin kesihatannya.

"Bagi pihak kerajaan negeri, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada unit penguatkuasa JPV melaksanakan penguatkuasaan undang-undang sehingga kes-kes penyeludupan kambing dari negara jiran semakin berkurang dan kesedaran masyarakat meningkat

"Sebulan lepas, unit sama telah merampas lebih 9,000 kilogram daging babi yang tidak mempunyai permit sembelihan yang sah, juga disyaki dibawa masuk dari negara jiran dan telah dilupuskan.

 


Tag: