BESUT, 3 September - Program pembersihan laut dan darat di Pulau Perhentian mencatat penyertaan luar biasa apabila seramai 80 penyelam turun ke dasar laut bagi mengutip sampah menerusi aktiviti Dive Against Debris.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata secara keseluruhan, 384 orang termasuk komuniti setempat berganding bahu menjayakan program yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Melalui aktiviti ‘Beach Clean Up’ di Kampung Nelayan, sebanyak 290 kilogram sampah berjaya dikutip, manakala para penyelam mengangkat kira-kira 30.7 kilogram sisa dari dasar laut.
“Sambutan kali ini amat membanggakan kerana penyertaan melebihi jangkaan. Target asal kita hanya 70 penyelam, namun seramai 80 orang telah turun ke laut dengan penyertaan keseluruhan 384 orang menjayakan program ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup ‘Dive Against Debris Pulau Perhentian’ yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan semalam.
Razali berkata lebih istimewa, ia dilaksanakan secara serentak melibatkan pembersihan kampung (plogging), pembersihan dasar laut, aktiviti CSR membaik pulih pagar masjid serta gotong-royong membersihkan kawasan kubur bersama komuniti tempatan.
"Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah mengeratkan hubungan komuniti dengan pelancong serta pihak berkuasa.
“Pulau Perhentian adalah antara destinasi pelancongan utama negara. Program seperti ini akan membantu memastikan ekosistem laut kita kekal terpelihara dan memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung,” ujarnya.
