• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

80 Rak Amal Inisiatif Kongsi Rezeki Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Sebanyak 80 unit rak disasar ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negeri Terengganu bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui inisiatif Rak Amal Kongsi Rezeki.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha sama Yayasan Amal Malaysia (YAM) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) berkenaan berkonsep terbuka di tempat awam dan senang diakses bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

"Konsepnya mudah bagi mereka yang berhajat untuk menyumbang. Sesiapa yang membeli belah di mana-mana pasaraya atau kedai boleh meletakkan belian sumbangan mereka berbentuk barangan di atas rak tersebut.

"Ia bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Sasaran kita adalah sebanyak 80 unit rak akan ditempatkan di seluruh Terengganu daripada 1,000 unit rak yang disasar ditempatkan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pelancaran Rak Amal Kongsi Rezeki di Sabasun HyperRuncit Kuala Terengganu, petang tadi.

Menurutnya, untuk permulaan sudah ada sebanyak 14 unit rak ditempatkan di beberapa lokasi di negeri itu termasuk di pasaraya dan kedai-kedai runcit terpilih.

Hadir sama dalam majlis pelancaran ringkas tersebut, Pengerusi YAM Malaysia, Hussin Ismail, pemilik rangkaian Pasaraya Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Che Salmi Ibrahim dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Wan Sukairi yang juga Ahli Jawatankuasa YAM Cawangan Terengganu turut menyumbang sejumlah barangan keperluan asas yang dibelinya untuk rak terbabit.

Beliau mengajak rakyat Terengganu serta syarikat-syarikat swasta yang ada agar bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan mereka yang kurang bernasib baik.


Tag: