• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

80 Sukarelawan UniSZA Bersedia Bantu Mangsa Banjir Di Kemaman

KUALA NERUS, 14 Januari - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memulakan inisiatif membersihkan kawasan terjejas banjir  dengan menghantar 80 sukarelawan bagi membantu operasi pasca banjir di Daerah Kemaman yang dilanda musibah itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Mohd Afandi berkata, pihaknya menumpukan kepada membersih dan membaiki kediaman penduduk yang rosak akibat banjir baru-baru ini.

"Alhamdulillah, sebanyak 25 buah rumah, tadika, balai raya serta surau telah dibersihkan oleh sukarelawan UniSZA dalam masa satu hari"

"Penduduk kampung juga turun padang membantu sukarelawan ini selain dapat mengeratkan silaturrahim," katanya yang juga turut serta dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021.

Sementara itu, menurut Mohd Afandi lagi, misi itu akan turut dilaksanakan di beberapa negeri yang dilanda banjir antaranya Johor, Perak, Pahang dan Kelantan.

"Kita sudah pun ada pasukan Hero Komuniti di setiap negeri terbabit dan insyaAllah mereka akan melaksanakan misi masing-masing dengan membersih rumah yang dilanda banjir selain memberi sumbangan bantuan keperluan asas.

"Setakat ini pun dah ada beberapa tempat yang telah melaksanakan misi tersebut walaupun tanpa peralatan dan pengangkutan yang cukup tapi mereka tetap meneruskan misi berkenaan dengan jayanya,”ujarnya.