• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

82 Asnaf Taman Indah Terima Sumbangan

DUNGUN, 6 Disember- 82 asnaf di Komuniti Taman Indah, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) menerima sumbangan berupa ayam dan bekalan asas makanan melalui program yang diadakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan.

Pengerusi MPKK Taman Indah, Zakiah Alias berkata, pihaknya bertindak sebagai perantaraan hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada mereka yang dipilih dari golongan asnaf di komuniti berkenaan.

"Penyumbang ini merupakan ahli dari komuniti Taman Indah sendiri, dimana kita gerakkan usaha untuk memberikan galakkan kepada mereka yang mempunyai lebihan rezeki supaya prihatin dan cakna kepada mereka yang kurang berkemampuan.

"Dilihat ianya mampu mendidik ahli komuniti untuk mengamalkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui sifat pemurah baginda, serta Islam juga mengajar agar anggota masyarakat saling sayang menyayangi diantara satu sama lain sehingga Rasulullah bersabda mukmin yang baik tidak akan membiarkan jirannya berada didalam keadaan lapar," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pihak media selepas mengagihkan sumbangan berkenaan di bilik gerakan MPKK, semalam.

Mengulas lanjut katanya, program berkenaan telah diadakan dengan dipastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dipatuhi dengan sebaik-sebaiknya.

"Terima kasih kepada semua penyumbang, insya Allah program ini kita akan teruskan lagi pada masa yang lain. Semoga Allah jua yang membalas jasa baik setiap penyumbang. Akhirnya harapan kita agar suasana harmoni serta perasaan kebersamaan serta sama-sama bertanggungjawab dapat dipupuk serta dikekalkan didalam komuniti ini," ujarnya.


Tag: