• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

83 Penduduk Manir Terjejas Akibat Banjir

HULU TERENGGANU, 28 Febuari - Seramai 83 orang penduduk dari 20 keluarga telah terjejas akibat banjir di Dewan Undangan Negeri Manir setakat jam 1 awal pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah KebangsaanvTeluk Menara yang telah dibuka sejak semalam. 

Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hilmi Harun berkata, beliau sejak petang semalam telah mula melawati PPS dan bersama pelbagai pihak menyelesaikan kelengkapan pusat pemindahan tersebut.

Beliau difahamkan, banjir yang berlaku sejak lewat petang semalam disebabkan pertembungan air laut pasang dan air besar sebelah hulu yang menjadi punca berlaku limpahan sungai Terengganu. 

“Mangsa yang terlibat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir terdiri daripada 11 keluarga dari Teluk Menara, lima keluarga dari Manir, tiga keluarga dari Banggol dan satu keluarga dari Tualang.

“Juga menerima maklumat daripada JPKK, ada beberapa keluarga yang terlibat hanya berpindah dan menumpang dirumah saudara mara mereka yang tidak terlibat banjir.

“Marilah kita berdoa pada Allah SWT supaya warga Manir yang menjadi mangsa banjir diselamatkan dan tidak berlaku kemalangan jiwa," ujarnya kepada pihak media ketika membuat tinjauan ke PPS Teluk Menara, semalam.

Dalam pada itu, beliau juga mengarahkan Unit Kebajikan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir sentiasa membekalkan makanan kepada semua mangsa banjir dan para petugas.

Hilmi yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Manir berpesan agar penduduk jangan panik dan sentiasa menunggu arahan daripada pihak berkuasa. 

"Bertenang dan turuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dengan situasi banjir luar jangka ini," katanya.


Tag: