KUALA TERENGGANU, 14 Ogos – Kajian terbaru yang dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) antara Jun hingga Julai tahun ini melibatkan 1,278 penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Terengganu mendapati mereka sependapat dengan pendirian negeri itu dalam menuntut bayaran royalti petroleum.
Menurut Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategik dan Institusi Integriti (TSIS), Mohd Eikhwan Ali, sikap Kerajaan Madani yang mengawal perbelanjaan hasil sumber petroleum telah menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat, termasuk pembayaran emolumen serta pelaksanaan projek pembangunan.
“Berdasarkan soal selidik pandangan awam yang dijalankan TSIS pada Mei hingga Jun 2024, seramai 57.2 peratus daripada 918 responden berpendapat layanan Kerajaan Madani terhadap Terengganu adalah teruk.
“Selain itu, 56.1 peratus daripada keseluruhan responden juga tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Eikhwan berkata, peralihan pentadbiran Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disusuli sentimen politik Kerajaan Madani telah menyebabkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 diketepikan, digantikan dengan kerangka Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat yang dilancarkan pada Julai lalu sebagai asas kepada RMK-12 dan RMK-13.
“Tidak seperti rancangan jangka panjang lain yang memiliki dokumen induk lengkap, penerbitan rasmi kerangka Ekonomi Madani hanya terdapat di portal Pejabat Perdana Menteri dalam bentuk teks ucapan, brosur dan slaid. Walaupun ia mungkin bersifat teknikal, keadaan ini mencerminkan tahap kredibiliti sebuah dokumen dasar kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, dalam RMK-13 yang dibentangkan, hanya sembilan daripada 122 strategi disebut secara jelas melibatkan kerjasama, penyelarasan dan kolaborasi dengan kerajaan negeri.
“Jika diteliti, kebanyakan sembilan strategi ini berkaitan senarai negeri dan senarai bersama di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan dan ekonomi negeri sentiasa berkembang.
“Namun, dalam suasana amalan pemusatan kuasa yang semakin mengukuh selain struktur federalisme sedia ada, tidak wajar inisiatif di bawah strategi ini dijadikan platform untuk Kerajaan Persekutuan memaksa kerajaan negeri melepaskan kepentingan mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Keadaan ini bertambah rumit apabila budaya politik sempit turut mempengaruhi,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan seruan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar agar Malaysia beralih kepada amalan Cooperative Federalism seperti yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat adalah amat bertepatan.
“Ia wajar dijadikan kajian kes dan dinilai di luar sempadan politik serta kepartian. Gesaan ini lahir daripada pengalaman beliau sendiri yang melihat dan merasai kepincangan amalan federalisme mutakhir ini,” tegasnya.