• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

85 Peserta Rimbunan Kaseh Terima Hak Milik Kekal Rumah

DUNGUN, 7 Mac - Kerajaan Terengganu menoktahkan teka-teki status kediaman bagi 85 peserta projek Rimbunan Kaseh, apabila menyerahkan hak milik kekal kediaman mereka melalui kaedah sewa beli pada kadar RM68,000 kepada peserta terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim mewakili kerajaan negeri menzahirkan kelegaan dalam kejayaan kerajaan negeri menyelesaikan isu yang belanjutan sejak tahun 2017 itu. 

Katanya, projek dbermula sejak 2015 melalui dua komponen iaitu kawasan perumahan terdiri 100 buah rumah serta infrastruktur, dan komponen kedua ialah 26 rumah hijau.

"Pada 2017 projek ini terbengkalai, kemudian IRIS meninggalkan projek ini dan Jabatan Pembangunan Persekutuan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan projek ini.

"Pada awalnya, kita selesaikan penstrukturan ladang dan pada tahun 2020 ia telah dimajukan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan tanaman Melon Manis Terengganu dan telah beroperasi semula.

"Bagi komponen perumahan, kita telah berjanji dengan pemilik bahawa tidak semua daripada mereka akan diambil bekerja di ladang, tetapi rumah ini akan diselesaikan dalam bentuk pemberian hak milik kekal dan ini yang kita laksanakan petang ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMM Rimbunan Kaseh kepada semua peserta di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Yang Di Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Dungun, Azizul Abdul Hadi, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkifli Amin dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman.

Jelas Dr Azman, walaupun rumah berkenaan bernilai RM140,000, ia cuma diberikan kepada peserta dengan kaedah sewa beli selama 25 tahun pada kadar RM68,000 sahaja.

"Ini menjadikan pemilik perlu membayar hanya kira-kira RM180 sebulan yang dikira tidak membebankan kepada 85 peserta asal dan 10 peserta tambahan yang kita berikan surat tawaran pada hari ini.

"Melalui perbincangan, penghuni Rimbunan Kaseh bersetuju dengan keputusan ini asalkan mereka dapat tinggal di sini kerana ini telah menjadi tanah air mereka," katanya.

 

 

 

 

 


Tag: