• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

868 Guru PASTI Diraikan Pada Konvokesyen Ke-10

Tiga penerima anugerah dekan menunjukkan plak masing-masing pada Sidang Pertama Majlis Istiadat Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Ke-10 di Hotel Primula, malam tadi. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail 
Guru-guru PASTI seluruh negara telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-10 yang berlangsung selama dua hari bermula 27 Julai di Hotel Primula Kuala Terengganu.
Seramai 868 guru layak menerima Sijil Perguruan PASTI Malaysia dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Mohd Azam Abd Samat berkata, semua penerima adalah para guru yang telah lulus dengan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan dari Institut Pendidikan Pasti Malaysia yang bertanggungjawab melatih guru-guru PASTI seluruh negara.

Katanya, sehingga kini PASTI Malaysia mempunyai guru hampir 8,000 orang dan pihaknya menyasarkan 80 peratus guru-guru PASTI akan mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.


"PASTI yang telah beroperasi lebih 30 tahun di Malaysia selama ini hanya menyediakan latihan perguruan peringkat sijil sahaja.

"Namun mulai tahun lepas, PASTI telah menyediakan latihan peringkat diploma selaras dengan hasrat kerajaan yang inginkan semua tenaga prasekolah memiliki sijil peringkat diploma mulai tahun 2020,"ujarnya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Pertama Majlis Istiadat Konvokesyen Perguruan PASTI Kali Ke-10 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Samsuri Mokhtar di Hotel Primula, malam tadi.

Menurut beliau, tahun ini merupakan konvokesyen terakhir bagi peringkat Sijil Perguruan PASTI Malaysia dan selepas ini akan digantikan dengan diploma.




Tag: