• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

870 Penduduk di Hulu Terengganu Terima Hak Tanah

HULU TERENGGANU, 4 Ogos - Seramai 870 pemohon di daerah ini menerima dokumen hak milik tanah termasuk Jadual 5A selepas menanti puluhan tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan segera.

Katanya, penyerahan geran hak milik kali ini melibatkan enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) iaitu Padang Ragut Kampung Tapah, Bukit Tinggi, Kampung Basong, Bukit Nyior, Kuala Por dan Bukit Tualang.

"Selain itu enam Rancangan Tanah Felcra dan Felda di kawasan Hulu Terengganu iaitu Felda Mengkawang, Felda Tersat (Tambahan), Felcra Bukit Kapah III (Tambahan), Felcra Bukit Kapah (Belia), Felcra Kampung Tapah (Paya Burung) dan Felda Jerangau Barat," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik   Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah & Pertanian, Rancangan Tanah Felcra dan Felda serta Penyampaian Jadual 5 A, Bagi Daerah Hulu Terengganu, di Dataran ATC Ajil, di sini hari ini.

Tambahnya, seramai 84 daripada 360 peserta yang menerima Borang 5A hari ini,  adalah peserta-peserta yang terkilan permohonan yang tidak diluluskan sebelum ini dan kerajaan negeri mengembalikan tanah berkenaan kepada pemohon asal.

Menurut Alias, kerajaan negeri juga meluluskan pemilikan tanah kepada 55 orang di RTB Padang Damar. 

"RTB Padang Damar sudah lama wujud tetapi mempunyai isu berkaitan tanah yang mana isu pemilikan tanah sudah berlarutan lebih daripada 60 tahun," katanya. 

Sementara itu, bagi generasi kedua Felda Bukit Bading, penantian hampir sebelas tahun bermula sejak Disember 2011 kini berakhir apabila mereka menerima hakmilik masing-masing pada hari ini.

"Prosesnya memakan masa yang lama kerana asalnya adalah tanah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, jadi pihak Pejabat Tanah perlu membatalkan terlebih dahulu tanah GSA ini untuk diluluskan secara Kanun Tanah Negara(KTN) dengan melalui proses yang panjang.

"Tanah GSA perlu kelulusan daripada Menteri, sokongan daripada Felda sebelum diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujar Alias.