lightning-solid
Berita :
RUU Antibuli 2025, Ahli Parlimen Besut Mahu Mangsa Terbela Sepenuhnya
RUU Antibuli 2025, Ahli Parlimen Besut Mahu Mangsa Terbela Sepenuhnya
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
55 minit yang lepas
35

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh semalam membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli 2025 di Dewan Rakyat dengan memberi sokongan bersyarat terhadap pelaksanaannya, khususnya melibatkan aspek pampasan kepada mangsa.

Dalam perbahasan, beliau menegaskan bahawa RUU tersebut merupakan satu langkah positif kerajaan dalam menangani isu buli, terutamanya dalam kalangan pelajar dan kanak-kanak. 

Namun, beliau membangkitkan kebimbangan terhadap peruntukan Fasa 43 dan 44 yang melibatkan pampasan serta penalti jenayah kepada responden yang gagal mematuhinya. 

“Jika responden gagal bayar pampasan lalu didenda dua kali ganda, wang itu lazimnya masuk ke kantung kerajaan, bukan kepada mangsa,” katanya.

Menurut beliau lagi, keadaan itu berisiko menyebabkan mangsa tidak menerima pampasan yang sepatutnya walaupun pesalah dikenakan hukuman. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sebuah tabung khas diwujudkan melalui akta ini bagi membolehkan denda yang dikutip disalurkan terus kepada mangsa. 

“Kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan tabung sokongan mangsa buli supaya hak mangsa tetap terpelihara,” ujarnya.

Selain itu, Che Zulkifly turut menyentuh isu pertindihan saluran aduan antara tribunal dan laporan polis seperti diperuntukkan di bawah Fasa 54.

“Persoalannya, adakah mangsa dibenarkan membuat aduan kepada dua saluran serentak dan adakah SOP khusus bagi mengelakkan kekeliruan?,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar nama RUU tersebut diperincikan supaya lebih menggambarkan skop sebenar yang tertumpu kepada institusi pendidikan dan kanak-kanak. 

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa buli tidak terhad kepada fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan dimensi siber, emosi, psikologi, seksual serta penyalahgunaan kuasa.

Mengulas penubuhan tribunal anti-buli, beliau berpandangan agar kuasa pelantikan tidak diberikan sepenuhnya kepada Menteri, sebaliknya melibatkan syor daripada badan kehakiman dan Majlis Peguam. 

“Menteri boleh melantik, tetapi biarlah syor datang daripada pihak yang lebih arif,” jelasnya.



Tag :

Artikel Berkaitan