• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

90 Positif Akibat Rentas Negeri, Daerah Sambut Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Kegembiraan dapat merentas negeri dan daerah dengan pelbagai alasan untuk menyambut Aildilfitri bertukar hiba buat 90 individu apabila mereka disahkan positif COVID-19, setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, antara kisah yang berjaya dibongkar ialah apabila ramai ahli keluarga positif di satu lokaliti dan dikaitkan dengan pulang dari zon merah secara ‘senyap-senyap’.

“Seramai 30 orang telah merentas negeri dan daerah atas pelbagai sebab melibatkan daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman menyebabkan sejumlah 90 orang disahkan dijangkiti virus.

"Pihak berkuasa larang ziarah hari raya. Kita buat juga secara diam-diam dengan alasan anak-beranak sahaja. Kalau betul patuh  prosedur operasi standard (SOP) jangkitan mesti kecil, kita dan anak-anak sahaja, bukan semua dijangkiti termasuk datuk, nenek, mak saudara, bapa saudara, cucu dan sepupu," katanya menerusi laman facebook rasminya.

Menurutnya, situasi peningkatan kes positif COVID-19 di Terengganu sehingga tiga angka masih tidak menunjukkan jalan keluar berikutan sikap masyarakat yang tidak serius.

Dr Nor Azimi menjelaskan, trend kenaikan kes hasil daripada anjuran majlis berbuka puasa dan jemaah tadarus dapat dielakkan jika SOP dipatuhi.

“Pelanggaran demi pelanggaran berlaku. Hasilnya kita nampak kes naik dan kematian juga berkali ganda. Walaupun pahit, kita perlu akui hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes meningkat ini,” luahnya.

"Kita larang buat majlis berbuka, tadarus dan gotong-royong tetapi kita buat juga, siiap sembelih kerbau lagi, buat di kamung sebab orang tak nampak, akhirnya terbongkar apabila ramai jemaah masjid, tadarus positif," katanya.

Tegasnya lagi, aktiviti perkumpulan di kawasan sesak seperti pusat membeli belah dan kedai makan turut menjadi penyumbang virus berleluasa.

"Terbaru, sebuah pasar raya baru saja ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif. Mereka bertebaran di beberapa daerah, pastinya beribu-ribu orang masuk ke pasar raya itu sebelum hari raya baru-baru ni.

"Kita pakaikan gelang suruh duduk rumah, bukan merayau-rayau memberi risiko kepada orang lain. Orang suruh patuhi SOP kita langgar, segala-galanya tak kena," tegasnya.

Jesteru, beliau menegaskan kepentingan pematuhan SOP kepada semua lapisan masyarakat demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan cepat.

“Kali ini pengamalan SOP mesti ketat dan bukan 'suku-suku, separuh', ini kerana peranan tersebut kita yang tentukan,” nasihatnya.

"Ada yang bagus dengan menjalani penilaian risiko dan kuarantin kendiri. Ini sekali gus dapat membataskan penularan, virus hanya menjangkiti keluarga sahaja," tambah beliau.