Jalur Gemilang
Berita :
939 Harta Intelek UMT, Lebih 20 Produk Berjaya Dikomersialkan
939 Harta Intelek UMT, Lebih 20 Produk Berjaya Dikomersialkan
Rohayati Ripin
10 Sep 26
4

KUALA TERENGGANU, 10 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merekodkan sebanyak 939 harta intelek sehingga tahun ini dalam usaha melindungi hasil inovasi penyelidikan universiti selain membuka ruang untuk dimanfaatkan industri dan komuniti.

 Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Suriyani Muhammad berkata, daripada jumlah itu, lebih 20 produk hasil penyelidikan UMT berjaya dikomersialkan dengan nilai hasil pengkomersialan mencecah RM2.6 juta sehingga Julai 2026.

 Menurutnya, UMT turut menubuhkan 16 syarikat pemula yang berjaya menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM1.1 juta dalam tempoh sama.

 “Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan UMT dalam membawa inovasi daripada peringkat idea dan penyelidikan kepada produk, perniagaan dan impak sebenar,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu, di sini, hari ini.

Beliau menambah, hasil penyelidikan universiti tidak seharusnya terhenti di makmal atau sekadar tersimpan dalam bentuk laporan dan penerbitan, sebaliknya perlu diterjemahkan menjadi produk yang digunakan, teknologi yang dimanfaatkan serta perniagaan yang mampu berkembang.

 Katanya, pengurusan harta intelek yang berkesan penting bagi memastikan hasil inovasi mempunyai potensi untuk dikembangkan dan dikomersialkan.

 “Program ini bukan sekadar sebuah pameran, tetapi merupakan ruang untuk idea bertemu dengan pasaran, penyelidik bertemu usahawan, mahasiswa bertemu industri dan hasil penyelidikan diperkenalkan kepada masyarakat,” ujarnya.

 Dalam pada itu, beliau berkata, pelancaran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu menjadi langkah strategik untuk membantu usahawan memanfaatkan pemasaran digital bagi memperluas pasaran dan meningkatkan keterlihatan produk mereka.

 Menurutnya, inisiatif itu turut melengkapi usaha UMT dalam menghubungkan inovasi dengan pasaran selain memperkukuh ekosistem keusahawanan dan pengkomersialan.

 “Budaya yang ingin kita perkukuhkan di UMT ialah daripada penyelidikan kepada inovasi, daripada inovasi kepada pengkomersialan dan akhirnya kepada impak,” katanya.

 Prof. Dr. Suriyani menambah, Market Innovation Showcase 2026 bertemakan Inovasi Untuk Semua turut memberi peluang kepada usahawan siswa UMT mengetengahkan produk dan perniagaan mereka kepada masyarakat serta pemain industri.

 Justeru itu, beliau berharap program berkenaan menjadi jambatan yang menghubungkan penyelidikan dengan pasaran, idea dengan peluang dan inovasi dengan impak, sekali gus melahirkan lebih banyak produk tempatan yang berdaya saing serta memberi manfaat kepada masyarakat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan