• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

99 Kertas Kerja Dibentang Pada Persidangan ICDETAH 2017

Ghazali ketika berucap di Majlis Penutup Persidangan ICDETAH 2017 di Hotel Permai, hari ini. Foto Oleh: Tg Syamim Tg Ismail

Sebanyak 99 kertas kerja dibentangkan pada persidangan Antarabangsa Komunikasi, Teknologi Maklumat, Pendidikan, Alam Sekitar, Pelancongan, Ekonomi, Politik, Seni dan Warisan (ICDETAH) 2017 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, persidangan kali kedua dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pertubuhan Ahli Akademik dan Profesional Anak Terengganu (Perapat) Malaysia, dan Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu mengenengahkan tema ‘Informasi Merentas Peradaban’.

“Maltamat ICDETAH 2017 adalah sebagai platform untuk pencambahan ilmu dalam menjayakan Transformasi Terengganu Baharu termasuk hasil daripada perbincangan, perkongsian dan pertukaran idea serta hasil penyelidikan dalam isu yang berkaitan dengan pembangunan komunikasi, media, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan, alam sekitar, pelancongan, ekonomi, agama, politik, seni dan warisan," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup persidangan ICDETAH 2017 di Hotel Permai, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Unit komunikasi Negeri Terengganu, Dato’ Muda Mamat, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran serta Presiden Perapat, Prof Madya Dr Abdul Halim Ali.

Menurut Ghazali, selain meneroka idea-idea baharu menerusi pembentangan kertas kerja bagi manfaat perkembangan bidang-bidang tersebut, ianya secara tidak langsung menjadi platform terbaik pembahasan tentang pelbagai isu pembangunan dalam bidang tumpuan ke arah mewujudkan kesedaran kesejahteraan pembangunan untuk masyarakat dan negara.


Katanya, seramai 150 peserta menyertai persidangan itu yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar pasca siswazah dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Brunei dan Australia serta wakil-wakil kerajaan negeri dimana 99 daripadanya adalah pembentang kertas kerja dan selebihnya peserta biasa.

Ghazali berkata, buat fikiran dan ilmu yang dibentangkan diharap dapat dimanfaatkan untuk dijadikan rujukan akademik khususnya bagi membangunkan program-program yang berteraskan teknologi maklumat di negeri ini.

Sementara itu, Prof Madya Dr Abdul Halim berkata, daripada jumlah 99 kertas kerja yang mengandungi pelbagai tajuk, dua buah penerbitan berjaya dihasilkan dalam bentuk jurnal dan sebuah buku sebagai kompilasi karya ahli-ahli akademik dari rantau ini yang boleh dimanfaatkan.

“Insya-Allah, bagi persidangan akan datang (dua tahun lagi) kita akan fokus kepada bidang, pendidikan teknikal dan vokasional pula sebagaimana kerajaan negeri sering tekankan,” katanya.

Tag: