• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

99 Peratus Graduan PSMZA Berjaya Dapat Kerja

DUNGUN, 16 September-  Hampir semua graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) 2021 berjaya mendapat pekerjaan iaitu samada di sektor kerajaan, swasta dan bekerja sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan  Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata beliau dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan institusi pengajian itu untuk tahun 2021 adalah sebanyak 99.27 peratus.

"Kadar kebolehpasaran graduan politeknik yang melebih 90 peratus ialah satu indikator latihan teknikal dan vokasional (TVET). 

"Ini menandakan graduan TVET berkualiti dimana sentiasa menjadi pilihan majikan meskipun ketika negara dilanda pandemik Covid-19. 
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Ke -19 tahun 2022 di Dewan Dagang, PSMZA di sini, baru-baru ini.

Pada Majlis Konvokesyen kali ini yang mengangkat tema “Graduan TVET Berkualiti Aspirasi Digitalisasi Negara” berlangsung selama tiga hari berturut- turut bermula 12 September itu seramai 1274 graduan berjaya mendapat penganugerahan Diploma bagi pengajian sesi  Disember 2020 dan Sesi 1 2021/2022.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail. 

"Saya difahamkan tema ini dipilih bersempena era digital negara yang semakin berkembang maju selari dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara  berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital, "katanya. 
 


Tag: