• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Abai Kebersihan, 52 Notis Dikeluar Kepada Peniaga Bazar

KUALA TERENGGANU, 23 April - Sebanyak 52 notis dengan jumlah amaun kompaun RM5,450 dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan dijalankan terhadap bazar Ramadan di seluruh negeri dan bagi mencegah berlakunya kejadian penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan makanan, kolera dan kepialu.

Katanya, kesemua 52 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

"Daripada 52 notis itu, 31 notis disebabkan kesalahan tidak memakai apron, peniaga atau pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan (11), kebersihan diri yang tidak memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua).

"Notis tertinggi dikeluarkan di daerah Besut iaitu 14, diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), Kuala Terengganu (tiga), Dungun (tiga), Kemaman (tiga) dan Hulu Terengganu (satu)," katanya ketika dihubungi pemberita.

Justeru itu katanya, pihak JKNT akan terus menjalankan pemantauan sehingga akhir Ramadan bagi tujuan pencegahan penyakit.

"Sampel makanan yang dijual turut diambil secara rawak bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual.

"Oleh itu, pilih gerai jualan yang bersih, makanan yang bertutup serta guna kaedah hidu dan rasa sebelum makan juadah yang dibeli," katanya.

 

 


Tag: