• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

‘Abang Long Sebuah Parti Mahukan Tiga Penjuru’

KUALA TERENGGANU, 17 November – Sikap ‘abang long’ ketua sebuah parti politik menjadi punca kegagalan perundingan dua penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun persetujuan telah dicapai.

Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada awalnya perbincangan untuk membentuk kerjasama tiga parti dalam PRN Melaka berjaya menemui jalan penyelesaian setelah pertemuan tiga parti berjaya diadakan.

“Saya kena sebut bahawa pertemuan ini mendapat mandat ketua parti masing-masing, ia diadakan pada Rabu 27 Oktober 2021 yang diwakili lima pemimpin UMNO, dua PAS dan dua Bersatu kemudian kali kedua pada Jumaat 29 Oktober 2021 dihadiri enam UMNO, dua PAS, tiga Bersatu. 

“Dalam pertemuan itu beberapa persetujuan telah dicapai, dan cadangan 'pre-election agreement' dirangka untuk kerjasama berlaku di PRN Melaka.

“Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Rabu, 3 November 2021, pasukan perunding dalam kekecewaan dimaklumkan bahawa ada seorang ketua parti yang akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahu tiga penjuru. 

“Memang semua kecewa, tapi apa nak buat, sikap Abang Long inilah yang mengganggu kerjasama bersama kita,” katanya ketika Ucapan Penggulungan Bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Justeru, bagi menjayakan agenda perpaduan beliau berkata semua pihak perlu berlapang dada, ikhlas dan mampu untuk mengelakkan dari mempunyai beberapa ciri yang boleh merosakkan usaha. 

“Ciri yang boleh merosakkan usaha perbincangan atau perundingan antaranya ialah, sikap Abang Long dalam apa jua perundingan, sikap samseng Kampung Dusun, iaitu watak Sarip Dol dalam filem Seniman Bujang Lapok, dan sikap tamak haloba mementingkan diri seperti watak Abdul Wahab dan Abdul Wahib, iaitu anak Ismet Ulam Raja dalam Filem Tiga Abdul,” ujarnya.

Terdahulu Ahmad Samsuri berkata,  generasi muda berumur 18 tahun dan ke atas kebanyakannya tidak berparti, mereka hanya mahu masalah mereka dibela dan dijaga oleh kita semua yang menjadi pemimpin.

Oleh itu amat penting katanya, ketiga-tiga parti Melayu ini berganding bagi mengelakkan kerajaan ‘scammer’ yang memerintah 22 bulan kembali.

“Kita semua ada kelemahan.  Kita harus melihat bahawa sekiranya kita gagal berpakat, ia adalah kerana kelemahan kita juga. Sekiranya tiga parti ini gagal merendahkan egonya, akan kembalinya sengsara 22 bulan semasa kerajaan 'scammer'.

“Adakah kita lupa tempoh 22 bulan kita dikelirukan oleh mereka yang menjanjikan bulan dan bintang dalam PRU-14 dan apabila mereka menang mereka mengaku gagal melaksanakan janji pilihan raya,” tambah beliau.


Tag: