• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Abdul Bari, Kematianmu Dicemburui

Yahaya (tengah) mendengar cerita tentang arwah Abdul Bari dari ayahnya, Mohd
KUALA TERENGGANU, 14 Februari- Subhanallah. Tiada apa yang lebih membahagiakan apabila dijemput Ilahi di dalam keadaan mati syahid sehinggakan pemergian itu dicemburui ramai.

Bapa kepada arwah Abdul Bari Asyraf, Mohd Mustafa, 66, berkata dia tidak pernah terfikir bahawa kematian anak ketiga daripada lapan beradik itu akan diratapi dan disanjung begitu hebat termasuk oleh pemimpin kerajaan negeri.

Jelasnya, beliau cukup sebak ketika dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memberi anugerah Wira Darul Iman kepada arwah Abdul Bari yang lemas semasa membantu menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Jumaat lalu.

"Saya nak cakap apa pun dok tau (tidak tahu), memang dok terucap dengan kata-kata dan kalaulah dia (arwah) masih hidup tentu ianya berbeza.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya untuk arwah, saat bermulanya pencarian sehinggalah ke liang lahad dan majlis tahlil... cukup sempurna dan luar jangkaan.

"Orang ramai yang datang dok tau dari mana, cukup ramai dan tidak putus-putus beri penghormatan kepada arwah... sampai saya sebak melihat keajaiban yang terjadi di depan mata,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebaik menerima kunjungan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali di rumahnya, di Kampung Panji, di sini, hari ini.

Yahaya yang ditemani isteri, Zarani Othman sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanyakan khabar keluarga arwah.

Mohd berkata, arwah seolah-olah orang kenamaan apabila kematiannya mendapat perhatian ramai pemimpin dan ketua jabatan.

"Arwah macam orang popular dan terkenal waktu hidup sebab ramai orang yang datang ziarah yang saya dok kenal langsung dan bila tanya..mereka jawab nak bagi penghormatan kat wira yang berani korbankan nyawa demi orang lain.

"Malah, waktu di tanah perkuburan, saya didatangi oleh seorang lelaki yang datang dari Kuala Lumpur semata-mata ingin memberi sumbangan dan ketika majlis tahlil, orang ramai melimpah ruah termasuk dari Kedah pun ada,"katanya.

Menurut Mohd lagi, sebagai ayah yang kehilangan anak secara tiba-tiba mungkin agak sukar menyesuaikan diri dengan suasana ini namun dia dan keluarga redha dengan ketetapan Ilahi.

"Mana ada ayah yang dok sedih, tipu kalu (kalau) kata dok nangis. Ada juga masanya saya teringat pada dia dan tersasul panggil nama arwah sebab dia ni memang banyak bantu saya tika hayatnya.

"Tapi saya terima hakikat dan letak dalam hati kami sekeluarga bahawa dia pergi dengan kemuliaan, disanjung dan dipuja dengan penuh kehebatan yang tak terjangka oleh saya sendiri,"ujarnya lagi.

Mayat pemuda berusia 31 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kawasan muka kuala Kampung Tanjung, Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5 km dari lokasi kejadian kira-kira pukul 7.24 pagi Ahad.

Jenazah Abdul Bari Asyraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah,  kira-kira jam 2.30 petang, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, anugerah Wira Darul Iman itu juga akan diberikan kepada lima lagi individu atas jasa mereka yang turut sama menyelamatkan mangsa.








Tag: