• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Abdul Hadi Terima Kunjungan Menteri Kewangan

MARANG, 6 September - Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan balas daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di kampung halamannya, petang semalam.

Ahli Parlimen Marang itu berkongsi gambar beliau di laman Facebook miliknya bersama delegasi Kementerian Kewangan Malaysia. 

"Saya berbesar hati di atas kesudian YB (Yang Berhormat) Menteri Kewangan untuk berkunjung ke Kampung Rusila, Marang, dalam kepadatan jadual lawatan beliau ke negeri Terengganu.

"Kami meluangkan sedikit masa untuk meninjau ruang solat di Masjid Rusila, berkongsi sejarah masjid ini yang diasaskan oleh moyang saya lebih 100 tahun yang lalu, sehingga pembinaan fasa seterusnya termasuklah penubuhan Maahad Darul Quran, yang kesemuanya dibina dengan dana waqaf dan sumbangan orang kampung.

"Dalam pertemuan tersebut, kami berbincang mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat dan pembangunan di kawasan luar bandar, yang sinonim dengan aktiviti pertanian, perikanan, pelancongan dan industri desa," ujarnya menerusi hantaran di Facebooknya, malam tadi. 
 

Sementara itu, dalam masa yang sama beliau turut menyerahkan suatu kertas cadangan untuk pertimbangan YB Menteri, yang mengandungi beberapa syor dan saranan berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan Pusat bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19, khususnya melalui peluang kerjasama negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.

Ahli Parlimen Marang tersebut turut mendoakan agar Tengku Zafrul dan pasukannya di Kementerian Kewangan sentiasa diberikan bimbingan dan kekuatan daripada Allah SWT untuk menerajui usaha pemulihan ekonomi negara secara adil dan saksama.

 


Tag: