• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

 

KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Aplikasi Terengganu Darul Iman News (TRDI News) dilancarkan hari ini sebagai medium baharu penyampaian maklumat dan penerangan kerajaan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, pembaharuan yang diusulkan dan diuruskan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) merupakan satu keperluan bagi melihat rakyat ini lebih berdaya maju dan berinformatif setanding atau melebihi negeri-negeri lain.

"Objektif kita mewujudkan aplikasi mudah alih ini bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat tepat dan terkini daripada kerajaan negeri. Selain itu, ia membolehkan berita-berita terkini disampaikan secara lebih mudah dan membenarkan notifikasi kandungan baharu disampaikan kepada pengguna.

"Pelancaran TRDI News hari ini sudah tentu memberikan impak dalam menyebarkan info dan maklumat tentang negeri Terengganu dan semogaaplikasi ini diguna pakai sepenuhnya serta menjadi rujukan utama seluruh rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Penerangan Terengganu yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Aplikasi TRDI News dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play di telefon mudah alih masing-masing. Ia juga boleh dicapai melalui akses laman https://www.trdi.my/ di komputer.

Aplikasi terbaharu ini mempertingkatkan penyampaian maklumat oleh UPDI dengan memudahkan pengurusan dalam fungsi 'single entry point' serta memperluaskan penggunaan, pengemaskinian dan pengesahan kandungan menyediakan arkib maklumat dalam pelbagai bentuk antaranya penulisan berita, rencana, video, rangkaian album gambar berkenaan aktiviti dan podcast.

 

 

 


Tag: