• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Ada Unsur Diskriminasi Dalam Bayaran Royalti Minyak

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -Foto Syaiful Mustafa


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu dan Kelantan mempunyai hak yang sama menerima bayaran royalti petroleum dan gas sebanyak lima peratus setahun sebagaimana diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kewangan Negara 7 Jun lalu.

Beliau mengharapkan apa yang sedang berlaku bukan satu cubaan mana-mana pihak yang berkuasa untuk mencanggahi komitmen Perdana Menteri Tun Dr Maharhir dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, Komitmen itu bertujuan untuk mengukuhkan semangat federalisme sebagaimana dibentangkan Perdana Menteri dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) di Parlimen, 19 Oktober lalu.

Beliau menyifatkan ada unsur diskriminasi dibuat oleh kepimpinan DAP apabila cuba menghalang pembayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu.

" Saya telah diminta mengulas mengenai bunga diskriminasi oleh pimpinan utama DAP yang menjadi Menteri dalam kementerian berkaitan dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebagaimana yang ditegur oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkenaan isu pembayaran royalti kepada Terengganu dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan media di sini 21 Oktober.

Sebelum itu dalam laman Facebooknya, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata, Perdana Menteri telah bersetuju untuk mengembalikan royalti terus kepada negeri sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto PH.

"Namun pembayaran kepada Kelantan dan Terengganu terhalang. Jika Saudara Lim Kit Siang mahukan bukti, sila tanya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng)," ujarnya.

Dr Ahmad Samsuri turut berkata, Lim Kit Siang boleh merujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkenaan kedudukan pembayaran royalti kepada negeri yang layak menerimanya seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara berkenaan.



Tag: