• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

DUNGUN, 9 Disember – Seorang pemuda menzahirkan perasan bersyukur apabila terpilih sebagai salah seorang penerima rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura.

Adam Nur Hafiz, 40, yang bekerja sebagai nelayan dan menyara lima orang anak yang masih bersekolah merasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat memenuhi hasratnya mendapatkan sebuah rumah.

“Tidak dapat saya ungkap dengan kata-kata. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih khususnya kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dan semua yang terlibat memenuhi hasrat keluarga kecil saya memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis serahan kunci rumah tersebut, baru-baru ini. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, bantuan tersebut bukan sahaja memberikan tempat tinggal kepada mereka yang kurang berkemampuan malah ianya dapat membantu mengatasi masalah untuk menyewa rumah kerana pendapatan isi keluarga yang kecil.

“Saat ini, kita dapat melihat satu kegembiraan diwajah mereka sebaik sahaja diserahkan kunci rumah tersebut kerana ada yang terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga yang lain atas sebab ketidakmapuan untuk menyewa rumah memandangkan pendapatan mereka cukup untuk menyara hidup keluarga sahaja, " ujarnya. 

Beliau berkata demikian sewaktu menyerahkan kunci rumah PPRT kepada salah seorang penerima di Kampung Sura Tengah, disini. 

 


Tag: