• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Adik Haziq Harumkan Nama MDI


Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 17 Julai- Seorang pelajar Madrasah Darul Iman (MDI) Titian Baru, Kedai Buloh, dinobatkan sebagai peserta terbaik kategori bawah 9 tahun peringkat kebangsaan bagi kejohanan 37th ISTAC 2019 & UniSZA 2nd Open National Tae Kwon Do Championship 2019 yang diadakan pada 12 hingga 13 Julai di Dewan Gemilang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Haziq Mahadi, 9, menjadi satu-satunya peserta pertama dari Sekolah Agama Rakyat (DAR) setelah dinobatkan sebagai peserta terbaik kategori bawah 9 tahun peringkat kebangsaan.

Dalam pertandingan berlangsung selama dua hari itu, Haziq berjaya menewaskan tiga pencabar lain dari beberapa sekolah terkemuka sekali gus muncul 'Sparring' terbaik kategori bawah 9 tahun lelaki dan mendapat pinggat emas.

Selain 'sparring', dalam kategori 'pattern' Haziq mendapat tempat kedua dengan memungut pinggat perak.

"Saya sertai pertandingan ini sekadar suka-suka sahaja kerana mengetahui ramai peserta berkualiti dari sekolah-sekolah lain. Pada masa sama saya jangka rakan peserta yang akan mengungguli kategori itu.

"Apabila berjaya di peringkat akhir, saya berusaha sebaik mungkin dan berjaya menewaskan peserta liga akhir dalam pertandingan yang cukup sengit.

"Alhamdulillah rezeki saya pada kali ini, sekali gus dapat mengharumkan nama sekolah di mata negeri," katanya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Haziq membawa pulang medal, piala dan sijil.


Guru Pembimbing Kontinjen Tae Kwon Do (MDI), Titian Baru, Kedai Buloh, Eida Ali berkata, pihaknya menghantar seramai 22 orang peserta ahli kelab Tae Kwon Do untuk bertanding di UniSZA baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Mudir Madrasah Darul Iman itu, Buniyamin Razimin berkata, "kami (MDI) amat berbangga dengan tahap pencapaian yang dimiliki oleh pelajar kita ini (Haziq) setelah dinobatkan sebagai peserta terbaik bagi kejohanan 37th ISTAC 2019 & UniSZA 2nd Open National TaeKwonDo Championship 2019".

"Saya sendiri pun tidak percaya dengan kebolehan yang ada pada (Haziq) ini, jika dilihat sesi latihannya yang santai dan dengan aksi lucunya, memang di luar jangkaan kami" katanya.

Tag: