• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

ADUN Ambil Langkah Segera Tangani Gangguan Bekalan Air

KUALA NERUS, 4 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengambil langkah segera bagi menangani isu gangguan bekalan air yang melanda beberapa tempat di daerah ini sejak Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan hebahan media terkini Syarikat Air Terengganu (SATU), tempoh masa yang agak lama perlu diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana kerumitan proses baik pulih di dasar sungai.

Susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif menyusun beberapa langkah termasuk menempatkan tangki statik di semua taman perumahan dan perkampungan yang terjejas mengikut populasi.

“Selain itu, lori air sendiri turut digerakkan sebagai bantuan sokongan buat ‘tanker’ air SATU dan lain-lain agensi.

“Mobile Team (bilangan masih terhad) yang akan bergerak dengan tangki kecil dari rumah ke rumah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Menurut Hishammuddin, pasukan kerja pihaknya telah memulakan langkah bergotong-royong menyiapkan semua ini bermula selepas Isyak (malam tadi).

“Perbincangan dengan pihak Bomba dan SATU untuk mendapatkan air melalui pili bomba juga telah diperolehi,” ujarnya.

Sementara itu katanya, persetujuan dan kebenaran juga sempat diperolehi melalui pihak sekolah dalam kawasan Tepoh melalui pihak Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus untuk memberikan kebenaran penduduk berdekatan mendapatkan bekalan air sekadar keperluan keluarga sementara air di tangki sekolah masih ada.

“Malam ini kena siapkan senarai lengkap lokasi yang perlu ditempatkan tangki statik dan keperluan-keperluan lain.

“Semoga dipermudahkan urusan untuk membantu semua penduduk yang terjejas bekalan air kali ini. Harap bersabar semua, kita sama-sama berganding usaha sementara usaha baik pulih dijalankan,” tulisnya.

Terdahulu, SATU memaklumkan, kawasan yang terlibat di Kuala Nerus ialah Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, UNISZA, Bukit Sudu, Pagar Besi, UMT dan Padang Nenas.

“Turut terjejas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi,” ujar SATU.
 
Manakala bagi daerah Kuala Terengganu kampung yang terlibat ialah Buluh Gading Masjid, Sebahagian Banggo Peradong, Buluh Gading Dewan, Manir, Banggol Tuan Muda, Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Telok Menara dan Jeram.