• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

ADUN Bandar Melawat Dua Rumah Terbakar

Ustaz Ahmad Shah (dua dari kanan) melawat rumah mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Long.

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed melawat dua buah rumah dan beberapa orang mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Long di sini semalam.
Serentak itu beliau meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan segala masalah mangsa termasuk tempat tinggal dan keperluan harian mereka berkenaan.
"Saya menziarahi kediaman Nik Ahmad Anuar Nik Mustaffa dan Khairuddin Aziz yang ditimpa kebakaran di Kampung Losong Haji Long. Kesemua keluarga kedua buah rumah yang terlibat seramai 15 orang, Alhamdulillah semuanya selamat.
"Untuk bantuan sementara, kami menyediakan homestay dan sedang berusaha menyediakan keperluan asas kepada mangsa. InshaAllah kami akan bawa perkara ini kepada JKM dan MAIDAM bagi mendapat bantuan susulan," jelasnya katanya dalam satu kenyataan yang dibuat naik di facebook beliau semalam.
Tiada kemalangan berlaku dalam kejadian tersebut dilaporkan dan taksiran kerugian sedang dibuat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.
Sumbangan kewangan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Shah (kiri) kepadaa mangsa terbabit.
Menurut satu laporan dua keluarga membabitkan 15 penghuni hilang tempat tinggal selepas dua rumah di kampung berkenaan, terbakar malam kelmarin.
Ketika kejadian jam 7.30 malam itu, seorang pemilik rumah, Hakimah Aziz, 65, sedang berbuka puasa bersama dua anak, Nik Fatmawati Nik Mustafa, 40, dan Nik Ahmad Anuar, 39, serta menantu, Mohd Shafie Harun, 39, serta tiga cucu.
Satu lagi rumah dihuni abang Hakimah, Khairuddin Aziz, 62, dan isterinya, Barizah Mohd Yusof, 58, yang ketika kejadian berada di dalam rumah sebelum diselamatkan anak saudara mereka, Nik Ahmad Anuar.
Hakimah berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi beberapa dentuman kecil di tingkat atas sebelum mengarahkan Nik Ahmad Anuar keluar untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, sebaik keluar rumah, Nik Ahmad Anuar mengarahkan mereka segera menyelamatkan diri apabila melihat api mula marak di tingkat atas.
Ustaz Ahmad Shah menenangkan mangsa selepas meninjau kerosakan akibat kebakaran rumah berkenaan.
“Sebelum itu, jiran sudah menjerit memberitahu api tetapi jeritan jiran tidak didengari kerana pintu tertutup rapat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata seramai 25 anggota bersama tiga jentera BBP Kuala Terengganu dan Jalan Kota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 7.48 malam.
“Sebaik tiba, api sedang marak dan kita berjaya mengawal api kira-kira 30 minit kemudian dengan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya jam 9.20 malam.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.



Tag: