• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Adun Belia Mahu Kerajaan Perbanyakan Peluang Kerja

KUALA TERENGGANU, 21 Disember- Sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu menyuarakan hasrat kepada kerajaan negeri agar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia dan  graduan dalam pelbagai sektor.

Langkah itu penting bagi mengelak angka pengangguran di negeri ini terus meningkat kepada tahap yang lebih membimbangkan.

Ianya perlu difikirkan walaupun menyedari negara, termasuk Terengganu kini berdepan  penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Adun Belia Kuala Berang, Che Wan Amir Che Wan Mansor mencadangkan supaya industri pembuatan dan pertanian di negeri ini terus diperkasakan.

Katanya, kedua-duanya saling berkait, sebagai contoh, bagaimana kilang-kilang yang menghasilkan produk-produk yang berasaskan bahan mentah daripada minyak kelapa sawit, mengambil bahan mentah seperti pati, minyak dan juga bahan-bahan yang berasaskan kelapa sawit yang di tanam oleh petani .

“Oleh itu, di antara perkara yang mampu untuk memberi nilai tambah kepada banyak pihak, atau pepatahnya 'serampang dua mata', adalah cuba memberi suatu kemudahan atau galakan kepada industri pembuatan, yang mana ingin bertapak dan beroperasi di negeri ini menggunakan bahan mentah atau sumber dari produk pertanian negeri ini.

“Hal ini secara tidak langsung mampu merancakkan industrI pembuatan yang mana telah lama dikenal pasti sebagai industri yang menawarkan peluang kerjaya yang tinggi kepada golongan belia khususnya serta mampu memberi pulangan kepada belia yang mengusahakan aktiviti agrikultur yang berkaitan,” katanya.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh, berkata kerajaan perlu memastikan golongan belia mendapat peluang pekerjaan yang benar-benar membuat mereka mampu mengatasi tekanan kos sara hidup sedia ada dan juga tekanan masa depan.

Katanya, penekanan perlu dibuat bagi memastikan peluang pekerjaan yang mahu ditawarkan kepada anak muda adalah bermaruah.

"Beri peluang pekerjaan, beri dana yang betul-betul mampu angkat anak muda ini mampu menghadapi tekanan masa hadapan, hadapi tekanan kos sara hidup yang semakin terdesak, “katanya.

 


Tag: