KEMAMAN, 30 Disember - Exco Kerajaan Terengganu, Dato' Hanafiah Mat dan Dato' Ariffin Deraman bersama Yayasan Mawaddah dan NGO Cakna Care menjayakan misi bantuan prihatin banjir di Aceh, susulan bencana banjir besar yang meragut ratusan nyawa serta memusnahkan ribuan kediaman di wilayah itu.
Hanafiah berkata pasukan mereka seramai 15 orang telah tiba di sana sejak 27 Disember dan memberikan tumpuan kepada mangsa banjir yang berada di kawasan Tamiang.
"Alhamdulillah, di sana kami telah membelanjakan lebih RM25,000 bagi menyediakan bantuan dalam bentuk beras, dapur gas, kain sembahyang wanita, al-quran, barangan mandian, lampin pakai buang dan lain-lain.
"Kami juga telah mengadakan "Program Dapur Umum" dimana nasi putih berlauk daging kambing disediakan untuk 1000 orang termasuk anak-anak yatim dan penduduk di Santa Marga, Kuala Simpang," ujarnya.

"Kami menginsafi kejadian banjir yang berlaku di Aceh ini. Ini merupakan ujian daripada Allah. Semoga penduduk Aceh terus kuat dan tabah dalam menghadapi ujian ini,"katanya.

"Saya juga ingin menyeru kepada seluruh pihak dan masyarakat yang turut prihatin agar sama-sama membantu mereka yang memerlukan di sana.
"Kalian boleh menderma kepada mana-mana pihak dan NGO yang boleh dipercayai agar sumbangan yang diberikan sampai kepada penerima yang selayaknya," katanya ketika ditemui pemberita selepas selamat tiba di Kemaman, awal pagi tadi.