• 26 Okt 2020 | 9 Rabiul Awal 1442

ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk

SETIU, 18 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyembelih empat ekor lembu sado untuk diagihkan kepada sekitar 5,800 penduduk di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berkata, daging yang dimasak singgang itu diagihkan kepada rakyat untuk lauk berbuka puasa.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing memasak secara gotong-royong.

"Kemudian masakan daging lembu ini akan dihantar sampai ke depan tangga rumah 5,800 penduduk.

"Ia sebagai satu daripada gerakan kebajikan kemasyarakatan kita dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyembelih keempat-empat lembu sado di Kampung Cabang Tiga Oh, Jabi, semalam.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga akan sedaya upaya menyantuni penduduk Jabi yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat ancaman virus COVID-19.

"Alhamdulillah, kes COVID-19 semakin menurun. Malah, Pusat Kuarantin di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) di Kampung Tok Dor, Jabi pun telah ditutup sejak awal bulan lalu," tambahnya.