• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Adun Puji Bajet Terengganu Tidak Hanya Fokus Bantuan Tunai

KUALA TERENGGANU, 16 November - Zuraida Mohd Nor memuji Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar semalam kerana tidak hanya menumpukan pemberian bantuan tunai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita itu berbesar hati dengan keprihatinan pihak kerajaan atas usaha merealisasikan penubuhan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu, Majlis Sosial Negeri, Kompleks Wanita Sejahtera, Dasar Wanita Terengganu dan Baitul Ummi. 

Beliau juga gembira atas perhatian terhadap masalah kesihatan mental di kalangan rakyat Terengganu khususnya wanita. 

“Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Kasemani Embong, seramai 2,144 individu telah mendaftar dan mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI)1. 

“Kenyataan ini jelas menunjukkan keperluan dalam kalangan rakyat bagi mendapatkan rawatan kesihatan mental selari dengan usaha kerajaan yang akan menawarkan khidmat rawatan secara percuma di hospital dan pusat kaunseling terpilih di negeri Terengganu,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan 2022 terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pada sidang belanjawan yang lepas kerajaan Terengganu telah memberikan insentif lanjutan bagi tahun ke-3 Bantuan Caruman Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (SBKPS) di bawah PERKESO. 

Jelasnya, caruman itu telah melibatkan pemandu kereta sewa dan bas persendirian serta caruman baharu kepada penarik beca negeri ini. 

“Kemudahan caruman percuma ini melalui dana khas kepada seramai 515 orang pencarum. Langkah ini jelas menggambarkan keseriusan kerajaan dalam memelihara segenap aspek kebajikan rakyat.

“Usaha yang dilakukan telah meletakkan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai penanda aras kepada negeri lain di Malaysia. Terengganu menjadi negeri pertama yang amat prihatin kepada rakyat bukan sahaja dengan memberi insentif berbentuk wang ringgit, malah menjaga keselamatan sosial rakyatnya.

“Penyediaan ‘safety-net’ (dengan izin) seumpama ini amat membantu terutama apabila pencarum terlibat dalam musibah dan kemalangan. Sekaligus memelihara kebajikan ahli keluarga yang lain. Situasi seperti kekurangan sumber kewangan dapat dikurangkan dan membantu meningkatkan daya tahan isi rumah pasca kemalangan,” katanya.


Tag: