KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Negeri Terengganu bagi menghadapi temasya Para SUKMA 2026 yang akan berlangsung di Selangor bermula 5 hingga 14 September 2026 nanti.
Pelantikan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi bin Mohamad Daham, dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu sempena SUKMA 2026 yang berlangsung semalam.

Ketika ditemui, Mohd Fadhli Rahmi berkata pelantikan tersebut merupakan satu amanah yang besar dan akan dipikul dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kontinjen Terengganu mampu memberikan saingan terbaik serta mencapai kejayaan yang membanggakan negeri.
“Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar. Insya-Allah, saya bersama seluruh barisan pengurusan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu atlet-atlet Para SUKMA Terengganu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
"Saya juga memohon seluruh rakyat Terengganu agar mendoakan kejayaan kontinjen kita di Selangor nanti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan atlet-atlet Para SUKMA Terengganu yang telah menjalani persiapan rapi dan berharap semangat juang tinggi serta sokongan padu daripada semua pihak akan menjadi pemangkin kepada kejayaan kontinjen.
Sebagai rekod, buat kali pertama, pengurusan atlet-atlet Para SUKMA akan diuruskan Majlis Sukan Negeri bagi penganjuran tahun ini. Sebelum ini, pengurusan atlet Para SUKMA diletakkan di bawah Jabatan Belia dan Sukan negeri masing-masing.