• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

ADUN Sura Teruskan Legasi Bantu Anak Yatim

DUNGUN, 26 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin meneruskan legasi meringankan beban golongan yang memerlukan dengan mengagihkan bantuan asas keperluan harian dengan membantu 555 orang Mustad'afin dan 314 orang anak yatim di DUN tersebut.

Sebelum ini, program kebajikan tersebut telah dilaksanakan setiap bulan oleh mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu sedang menghadapi sedikit kesukaran dari sudut kewangan.

"Di peringkat Kerajaan Negeri Terengganu, kita sedang menghadapi kekangan dari sudut kewangan, namun, kami di peringkat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura, dengan harapan serta keyakinan yang tinggi, kami akan terus berusaha memastikan ianya dapat dilaksana dan diteruskan di masa yang akan datang," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut. 

Katanya, bantuan ini mungkin nampak kecil pandangan sesetengah pihak, tetapi ianya cukup besar bagi mereka yang memerlukan memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat saban hari.

"Mudah-mudahan ianya dapat meringankan sedikit beban ketua keluarga untuk meneruskan kehidupan," ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Anak-Anak Yatim DUN Sura(PAYUNG) diatas kesudian menjalinkan kerjasama melaksanakan program kebajikan tersebut.

"Tahniah kepada NGO PAYUNG kerana dalam tempoh hanya 4 tahun ianya ditubuhkan, berjaya mengumpulkan anak-anak yatim dari setiap kampung di dalam kawasan DUN Sura untuk dibantu."

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Yatim Dun Sura (PAYUNG), Zakariah Yusoff, mengalu-alukan kepada mana-mana dermawan yang ingin turut sama menyumbang kepada anak-anak yatim ini.

"Di peringkat DUN Sura, kami mendapat sokongan penuh daripada ADUN Sura dalam melaksanakan kebajikan anak-anak yatim ini, namun kami juga mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada anak-anak yatim ini," ujarnya.

 

 


Tag: