ADUN Wakaf Mempelam Teruskan Tradisi Berbuka Puasa di Rumah Penduduk

KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah meneruskan tradisi berbuka puasa di rumah penduduk dengan memilih kediaman Ahmad Abd Rahman di Kampung Pak Pa sebagai lokasi pertama kunjungannya sempena Ramadan tahun ini.

Ahmad, 64, yang mempunyai 12 orang anak, meluahkan rasa terharu kerana ini merupakan kali pertama seorang wakil rakyat datang berbuka puasa di rumahnya.

“Saya tidak pernah menyangka Yang Berhormat (YB) sudi datang ke rumah kami untuk berbuka puasa. Bila dimaklumkan tentang perkara ini, saya dan keluarga sangat mengalu-alukan kehadiran beliau. Saya juga terkejut apabila diberitahu bahawa kami tidak perlu menyediakan apa-apa juadah kerana semuanya telah disediakan termasuk makanan dan minuman,” katanya.

Dalam kunjungan tersebut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri membawa tiga set nasi beriani untuk dikongsi bersama tuan rumah serta menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada keluarga Ahmad.

Menurut beliau, tradisi berbuka puasa bersama rakyat yang telah diamalkan sejak empat tahun lalu ini bukan sekadar untuk menikmati juadah bersama masyarakat, tetapi juga sebagai usaha untuk mendekati dan memahami kehidupan seharian mereka dengan lebih dekat.

“Saya sangat menyukai cara ini kerana ia memberi peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa di rumah rakyat. Ia bukan sahaja satu cara meraikan mereka, tetapi juga meninggalkan kenangan manis buat tuan rumah serta diri saya sendiri,” katanya.

“Pengalaman saya sebelum ini bila turun berbuka di rumah penduduk, saya bukan sahaja dapat menikmati juadah bersama mereka, tetapi juga berpeluang melihat sendiri jika ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang kurang sihat dan memerlukan bantuan,” tambahnya.

Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 12 rumah akan dikunjungi sepanjang bulan Ramadan ini, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dan yang mempunyai anak ramai.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Pa, Jafri Mohamad.

Sebelum berbuka puasa, Wan Sukairi turut meluangkan masa bertemu dengan kira-kira 50 penduduk kampung bagi bertanya khabar dan berkongsi rezeki dengan menyampaikan kuih-muih sebagai juadah berbuka puasa.


Tag: