• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Agenda Pemerkasaan Syariah Berada Di Landasan Tepat

KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Selain berjaya melaksanakan 70 peratus manifesto dalam tempoh tiga tahun, agenda pemerkasaan syariah Islam turut diberi penekanan serius kerajaan negeri dan ia berada di landasan terbaik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai dasar sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan juga menjadi prinsip pertama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030), agenda itu terus menjadi fokus kerajaan.

Katanya, proses itu perlu dilakukan dengan cermat dan secara berperingkat serta tidak tergopoh-gapah. 

“Beberapa inisiatif telah kita ambil antaranya ialah membangunkan Garis Panduan Patuh Syariah Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan. 

“Ia termasuklah beberapa dasar dan polisi lain, seperti dasar perumahan Rumah Darul Imn (RAHMAN), Dasar Integriti Darul Iman, dan Modul Itqan Insani.

“Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan beberapa agensi bertindak dalam agenda ini seperti Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan juga Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS),” katanya dalam Perutusan Khas sempena 3 Tanun Pentadbiran semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, bagi menjayakan agenda itu, pendidikan Islam terus diperkasakan dengan mewujudkan system yang komprehensif, bermula dari Tadika, Pendidikan Rendah dan Menengah, hinggalah kepada peringkat pengajian tinggi. 

“Bahkan pada tahun ini kita menaik taraf Bahagian Pendidikan Islam, kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, sebagai penyelia kepada sistem pendidikan Islam di Terengganu.

“Dalam soal urus niaga kerajaan, elemen patuh syariah amat dititik beratkan, antaranya ialah, kita adalah mendapatkan kembali status patuh syariah untuk TDM Berhad, setelah beberapa tahun status tersebut ditarik.

Jelasnya, agenda pemerkasaan syariat Islam ini, pastinya mengambil masa dan proses yang panjang.

“Oleh kerana itu, kerjasama dan kefahaman daripada semua pihak, amatlah diharapkan bagi merealisasi impian ini,” tambah beliau.


Tag: