• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Agih 4,000 Balang Air Untuk Penduduk Terjejas

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Sebanyak 4,000 balang air bersih diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. 

Agihan itu dilakukan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia dan Iman Care Kuala Terengganu dalam tempoh empat hari sejak krisis air berlaku pada Isnin lalu.

Pengerusi Khidmat Malaysia Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 1,000 balang air yang setiap satunya mengandungi 20 liter air bersih diagihkan menggunakan treler.

"Antara kawasan yang telah menerima agihan air ini ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Batu Rakit dan Buluh Gading manakala esok kita akan bergerak ke Manir serta Seberang Takir. 

"Air yang diagihkan kepada penduduk ialah air osmosis berbalik (RO Water) di mana ia boleh terus diminum dan selamat untuk kegunaan seisi rumah," katanya.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, proses agihan bantuan air telah dilakukan sejak hari pertama di peringkat DUN masing-masing. 

Katanya, agihan air yang diberikan ialah inisiatif yang diambil NGO Kuala Terengganu dalam membantu penduduk terjejas akibat krisis air yang melanda sejak Isnin lalu. 

Beliau berkata, agihan air akan diteruskan sekiranya masalah air masih berlaku susulan kerja-kerja pembaikian paip air bersaiz 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu. 
 
"Khidmat agihan air akan diteruskan lagi sekiranya krisis air masih berlaku dan selepas ini kita akan gerakkan pula untuk agihan air biasa untuk kegunaan rumah seperti mandi dan sebagainya," katanya. 

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu dijangka berlarutan dalam tempoh tujuh hari lagi.

Ia berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.


Tag: