• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Agih Bubur Asyura Secara 'Drive-Thru'

DUNGUN, 20 September- Sebanyak 300 pek bubur assyura diagihkan kepada penduduk Durian Mentangau secara ‘Drive-Thru’ atau pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan orang ramai berkumpul.

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Durian Mentangau, Suhaimi Muda berkata, pengagihan itu dibuat seusai solat Jumaat.

“Pada sebelah pagi kita bersama komuniti setempat mengadakan gotong-royong memasak bubur assyura ini dan membuat pengagihan selepas solat Jumaat,” katanya.

Jelasnya, kaedah ini dapat mengelakkan orang ramai berkumpul di khemah yang disediakan.

“Alhamdulillah, sekaligus kita dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam pengajuran program ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan selepas selesai pengagihan bubur asyura di perkarangan Masjid Durian Mentangau, baru-baru ini.

katanya, program berkenaan disambut baik oleh masyarakat setempat tidak kira tua dan muda.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada penduduk kampung serta semua yang bekerjasama membuat ‘sura’.

“Alhamdulillah semangat bergotong-royong ini masih kuat di Durian Mentangau,” ujarnya.


Tag: