• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

AGRO Bank Tawar Pinjaman Sehingga RM50 Ribu

KEMAMAN, 1 November - AGRO Bank menawarkan pinjaman atau pembiayaan mudah maksima sehingga RM50 ribu bagi setiap permohonan dengan bayaran balik selama lima tahun tanpa cagaran dan penjamin.

Pengarah Agro Bank Wilayah Timur, Syed Ibrahim Syed Mohd menjelaskan, pembiayaan ini disasarkan kepada petani, nelayan, penternak dan pemain yang berkaitan dengan asas tani.

Syed Ibrahim sedang berucap, Hazri Jusoh (dua dari kanan).

"Kami menyasarkan pembiayaan mudah ini kepada petani, penternak, nelayan dan individu, koperasi atau syarikat yang mengeluarkan produk makanan berasaskan pertanian sama ada yang berskala kecil mahupun besar.

"Justeru itu, saya menyeru kepada semua supaya dapat menghebahkan perkara ini kepada mereka yang memerlukan dan mengambil peluang ini untuk dimanfaatkan. Siapa cepat dia dapat," katanya.

Syed Ibrahim berucap ketika sesi taklimat di Balai Raya Kampung Jong Belaboh pada 27 Oktober lalu.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang turut berucap sebagai tuan rumah menyarankan kepada belia dan beliawanis supaya merebut peluang yang ada ini.

"Kepada para pemuda dan pemudi yang beminat di dalam sektor ini, rebutlah peluang yang terbuka ini.

"Banyak aduan dan rintihan yang diterima sebelum ini kebanyakannya ketiadaan modal bagi memulakan projek sama ada pertanian maupun penternakan. Inilah masanya," ucapnya.

Sesi taklimat itu dianjurkan oleh urusetia Koperasi Jong Belaboh bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung tersebut.

Sebanyak RM350 juta yang diperuntukkan kepada AGRO Bank oleh Kerajaan Malaysia di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk diagihkan ke seluruh negara.