• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ahli Majlis Wanita Sebagai Semak Dan Imbang Kerajaan Tempatan - Dr. Alias

KUALA TERENGGANU, 25 September - Kerajaan negeri mengiktiraf peranan ahli majlis wanita sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat dicapai dengan jayanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, usaha mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang terbaik untuk rakyat memerlukan sentuhan wanita di semua peringkat termasuk penggubalan undang-undang dan polisi serta pelaksanaan.

"Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling hampir dengan rakyat kerana ia mengandungi bidang kuasa berkaitan perancangan bandar termasuk pengurusan sampah, sisa pepejal, parit, longkang, penyelenggaran bangunan dan sebagainya.

"Isu-isu ini sememangnya dekat di hati rakyat kerana melingkari kehidupan seharian mereka. Sangat penting ahli majlis wanita berperanan sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan sebagai sebuah kerajaan Islam serta hasrat rakyat dapat dicapai dengan jayanya.

"Kita juga masih ada banyak isu berkaitan wanita di peringkat kerajaan tempatan iaitu bagaimana ingin mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang mesra wanita, kanak-kanak dan keluarga," katanya.

Dr. Alias Razak.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan Penggubal Undang-Undang Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Negara (Terengganu), Nuridah Salleh, Ahli Dewan Negara (Kelantan), Asmak Husin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.

Seramai kira-kira 60 orang ahli majlis wanita dari tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak menghadiri seminar berkenaan.

Dalam pada itu, tambah Alias, isu perancangan bandar termasuk penyelenggaran kebersihan dan sisa pepejal sememangnya memerlukan sentuhan wanita.

"Sebagai ahli majlis wanita, sangat penting pemerkasaan hari ini dilakukan agar memahami peranan masing-masing sehingga mampu menjadi penyampai perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

"Justeru besar hasrat saya untuk memastikan wanita diperlengkapkan dengan asas kemahiran dan latihan yang sistematik ke arah menjadi ahli majlis yang berdaya saing.

"Serta dalam masa yang sama berusaha dan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk merealisasikan dasar-dasar Islam khususnya menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera difahami dan dirasai oleh rakyat jelata," jelasnya.