lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Dungun Desak Tindakan Diplomatik Tegas Bebas Aktivis Malaysia Ditahan Israel
Ahli Parlimen Dungun Desak Tindakan Diplomatik Tegas Bebas Aktivis Malaysia Ditahan Israel
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
02 Oct 25
129

KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2025 – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas dan berani susulan penahanan sekumpulan aktivis kemanusiaan Malaysia oleh tentera rejim Israel (IDF) dalam insiden melibatkan misi Global Sumud Flotilla.

Misi maritim kemanusiaan terbesar abad ini yang disertai lebih 50 kapal dan kira-kira 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, dilaporkan telah disekat dan diserang walaupun dijalankan secara aman dan tanpa senjata.

Menurut laporan terkini, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel. Antara yang terlibat termasuk aktivis dan pempengaruh tanah air seperti Farah Lee (Nurfarahin Romli), Danish Nazram, Zizi Kirana, Musa Nuwayri, dan beberapa lagi yang menyertai flotilla demi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menuntut pembukaan laluan ke Gaza.

Walau bagaimanapun, status beberapa peserta Malaysia masih belum dapat dipastikan selepas komunikasi dengan pihak misi flotilla terputus, menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan mereka.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel. Mereka perlu membebaskan segera semua aktivis Malaysia dan antarabangsa yang ditahan tanpa syarat serta menjamin keselamatan sepanjang proses pembebasan,” tegas Wan Hassan dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mendesak agar kerajaan Malaysia tidak menjalin sebarang bentuk hubungan atau kerjasama dengan mana-mana pihak yang menjadi sekutu rapat Israel.

Katanya, sebarang tindakan sedemikian hanya akan dilihat sebagai sokongan tidak langsung terhadap kekejaman yang berlaku di Palestin.

“Malaysia mesti berdiri teguh bukan sahaja bersama rakyat Gaza yang terus menderita, tetapi juga bersama seluruh aktivis kemanusiaan antarabangsa yang memperjuangkan hak, maruah dan keadilan demi keamanan sejagat,” katanya lagi.

Insiden terbaharu ini dijangka meningkatkan lagi tekanan antarabangsa terhadap Israel, yang berdepan kecaman global berhubung sekatan berterusan terhadap Gaza dan tindakan keras terhadap misi kemanusiaan.


Tag :

Artikel Berkaitan