• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Ahli UMNO Perlu Pasak Mentaliti Kemenangan- Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu,  hari ini. Harish Fadzillah Kassim

Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan mentaliti kemenangan perlu dipasak ke dalam seluruh kepimpinan  ahli  UMNO sama ada di peringkat atasan atau akar umbi kerana mampu menangkis cubaan pihak luar yang menafikan keyakinan dan keupayaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum PRU (Ke-14).

Katanya, kita boleh menggunakan peumpamaan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional seperti pelari jarak jauh sepanjang tempoh 60 tahun ini, dengan kejayaan berterusan bersandarkan daya tahan dan daya juang yang diperkasakan.

“Mereka dari kalangan parti-parti serpihan boleh diibaratkan seperti pelari pecut, akan pecut dalam tempoh yang singkat, apabila hilang nafasnya mereka akan kecundang, InsyaAllah pelari marathon akan menang.Tetapi kita harus mempunyai mentaliti kemenangan,”katanya.

"Apabila kita berada di padang kita mesti ada keyakinan..kemenangan itu perlukan stamina yang tinggi, dan stamina itu adalah istiqamah siasah, iaitu kestabilan politik yang diperkasakan,"katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu,  hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’  Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Seri Idris Jusoh dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungn UMNO Negeri, Dato’  Jailani Johari.

Lebih 7,000 orang termasuk sayap parti, Puteri, Pemuda, Wanita dan Veteran UMNO menghadiri persidangan itu.

Sebaik selesai, Zahid kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.


Tag: