• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ahmad Amzad Santuni Mangsa Pasca Banjir

KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Banjir kilat yang dibawa oleh hujan lebat luar biasa minggu lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan isterinya, Dr Nur Diana At-Takri.

Menurut Ahmad Amzad, banjir kilat itu menjejaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan DUN Ladang serta beberapa kawasan lan dalam daerah ini.

"Saya dan isteri menyantuni rakyat di samping memberi beberapa keperluan kepada mangsa yang terjejas banjir itu dari rumah ke rumah.

“Melalui aktiviti ini kita dapat merasai kesusahan mereka (mangsa banjir) yang terpaksa berpindah dan duduk di PPS kerana rumah dinaiki air.

“Saya harap mereka semua dapat bersabar dan kami akan bantu semampu yang boleh mengikut keperluan, Insya’Allah,” ujarnya kepada pemberita baru-baru ini.

Sementara itu, mangsa banjir pertama, Puan Maimun Ali, 53, di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai yang tinggal bersama anak dan cucu seramai 10 orang besyukur kerana masih selamat.

“Kami sekeluarga terpaksa bermalam dua hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) S.K Chendering. Alhamdulillah, semua selamat kecuali harta benda yang rosak,” ujarnya.

Di samping itu, seorang lagi manga banjir, Siti Assiah Razali, 31, yang ditemui di Kampung Mengabang Tengah Hilir, Batu Buruk berkata, banjir yang berlaku di sekitar rumah menyebabkan keluarganya tidak merasa selesa.

“Alhamdulillah, walaupun berlaku banjir tetapi rumah saya ini tidak dinaiki air, cuma keadaan tidak selesa kerana beranak kecil,” ujarnya.

 


Tag: