• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Ahmad Nadzarudin CEO Baharu Golden Pharos Berhad


Golden Pharos Berhad (GPB), sebuah syarikat berasaskan pembalakan mengumumkan pelantikan Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuatkuasa mulai 13 September lalu.

Pelantikan Ahmad Nadzarudin yang berkelulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University Of Houston, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University Of Warwick, England bagi menggantikan Mohd Adawi Ton Omar.

Sebelum menyertai GPB, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Panglima iaitu syarikat yang terlibat dalam sumber asli berpoerasi di Malaysia, Laos dan Indonesia.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan di konglomerat Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan.

Pada  2011, Ahmad Nadzarudin dilantik Ketua Bahagian Perkhidmatan di DRB-Hicom Berhad yang bertanggungjawab terhadap Puspakom dan Alam Flora.

Sebelum itu, beliau adalah Ketua Pegawai Operasi PosLaju Courier Nasional, Pengurus Besar Perancang Korporat di Pos Malaysia Berhad dan Ketua Hal Ehwal Korporat di Prolink Development, sebuah subsidiary Renong Berhad.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengerusi GPB Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan seorang pemimpin yang berpengalaman dan berharap Kumpulan GPB akan memulakan aliran pertumbuhan di bawah kepimpinan baharu ini.

Untuk rekod, GPB adalah anak syarikat kerajaan negeri yang merupakan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia terlibat dalam pengurusan konsesi hutan; pembalakan dan pengagihan; pengilangan papan dan pemprosesan tambah nilai barangan berasaskan kayu; pengilangan serta penjualan panel kaca seni binaan.

Tag: