• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Ahmad Said Berbohong, 'Mati Akal'

KUALA TERENGGANU, 16 November - Calon BN Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ahmad Said dikatakan berbohong dan 'mati akal' apabila mendakwa kerajaan Terengganu merasuah pengundi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, fitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu sengaja dibuat selepas beliau melihat partinya kian hilang sokongan daripada rakyat.

"Ahmad Said kata agihan i-OKU, Pencen Rakyat RM600 serta i-Belia dalam tempoh berkempen adalah untuk merasuah pengundi.

"Dakwa beliau lagi, peruntukan itu tiada dalam bajet kerajaan negeri dan tidak pernah dibawa ketika pembentangan bajet kerajaan negeri.

"Ini jelas satu penipu bagi menjejaskan imej PAS di mata rakyat, padahal peruntukan itu sudah dibentangkan dan ada dilaporkan dalam portal berita, boleh rujuk dan buat carian secara atas talian," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Keratan berita bertarikh 15 November 2021, bantuan dibentangkan dalam bajet.

Menurut Hanafiah lagi, agihan pada bulan November ini sudah lama dirancang dan dihebahkan kepada semua.

"Tidak timbul isu kami sengaja membuat agihan pada waktu ini semata-mata ingin meraih undi, kami sudah rancang lama, permohonan bantuan seperti pencen rakyat ada yang dibuka awal tahun ini, boleh rujuk semula kenyataan-kenyataan yang ada.

"Bagi i-belia pun sama, sudah dibentangkan dalam sidang bajet 2022, permohonan dibuka bulan September sehingga Oktober, kemudian agihan dibuat pada bulan ini.

"Kami tidak tahu bila Parlimen akan dibubarkan dan kami juga mendesak supaya Parlimen dibubarkan tahun depan tetapi Perdana Menteri daripada parti beliau yang bubarkan, kami kerajaan negeri terus jalankan amanah seperti biasa," tambah beliau.

Pagi tadi, Ahmad Said menggesa siasatan segera dilakukan terhadap kerajaan PAS Terengganu yang didakwa mengagihkan wang kepada rakyat dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).