• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Aiman Bolot Tiga Jersi Saingan Pertama TGDT23

KEMAMAN, 4 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff melaungkan cabaran awal kepada pelumba-pelumba lain apabila membolot tiga jersi yang dipertandingkan dalam saingan peringkat pertama Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) dari Marang ke Kemaman, hari ini.

Pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu memenangi jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat.

Aiman menewaskan pelumba Armed Forces Cycling Team, Mohd Zawawi Azman di tempat kedua (3:46:34) dan pelumba TSS Racing Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Rosli di tempat ketiga, juga dengan catatan masa 3:46:34.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat pertama.

Manakala, jersi merah jambu; yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi bekas pelumba kebangsaan, Anuar Manan dari TSS Racing yang menamatkan perlumbaan dalam masa 3:49:56 saat.

Perlumbaan peringkat pertama bermula dari Pulau Kekabu yang berakhir di Pantai Teluk Mak Nik itu melibatkan laluan sepanjang 157. 30 kilometer.

 

 


Tag: