• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Aiman Sasar Rampas Jersi Tour Gateh D'Tranung

KUALA TERENGGANU, 3 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menyuarakan keinginan untuk memenangi salah satu jersi peringkat yang dipertandingkan di Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23), yang bermula esok.

Sekalipun masih mencari kecergasan kerana baru pulang dari perlumbaan di Iran, pemenang jersi merah Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu akan cuba memberikan aksi terbaik dalam TGDT23.

"Pasukan yang datang bertanding kali ini semuanya memberikan saingan yang kuat dan saya kena lebih berusaha dan semangat untuk memenangi peringkat serta cuba memenangi jersi-jersi yang dipertandingkan.

"Sebenarnya, ejohanan ini adalah persiapan terakhir saya untuk LTdL pada hujung bulan ini, jadi untuk TGDT ini saya cuba untuk cari rentak serta kecergasan selepas balik dari perlumbaan di Iran yang agak berbeza masa dan cuaca.

"Rehat kurang cukup jadi saya akan ambil masa untuk memulihkan dan menyesuaikan diri dalam sehari dua ini. Sebab selalunya, selepas bertanding di luar, saya selalunya agak kurang cergas. Tetapi, dalam masa itu saya akan cuba mendapatkan sesuatu untuk pasukan.

"Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan cuba dapatkan (kejuaraan) peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Penaja Pasukan TGDT23 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja itu, seramai 145 pelumba mewakili 25 pasukan melibatkan pelumba elit, tempatan dan pelumba bawah 21 tahun.

Dalam pada itu, salah satu pasukan luar negara yang turut bertanding, Nusantara Cycling Team berjanji memberikan saingan sengit sepanjang kejohanan.

Pengurus pasukan, Mohammad Rezza Adytya menyifatkan kehadiran kali pertama ke Terengganu akan mencabar kemampuan pasukannya,

"Saingan tampak seimbang dan cabaran cukup kuat, namun kita juga tidak mahu kalah sepertimana pasukan-pasukan lain.

"Kita (pasukan) sudah mengadakan persiapan yang cukup baik dan kita juga berusaha menjadi yang terbaik, kami menyasarkan 'rider' untuk cuba memenangi setiap peringkat ditambah kelebihan 'rider' kami dari Malaysia yang juga anak Terengganu iaitu Muhammad Afiq Huznie Othman dan Muhammad Hakimi Haikal Ahmad Sabri," katanya.

 

 

 

 


Tag: