• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Aiman Zariff Sasar Kekalkan Jersi Biru TGDT23

BESUT, 6 September- Pemenang jersi biru bagi kategori individu keseluruhan Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) setakat ini, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berazam memastikan penguasaan mutlak ke atas jersi itu kekal menjadi miliknya, menjelang perlumbaan peringkat terakhir dari Kuala Terengganu ke Hulu Terengganu, esok.

Sekalipun tidak berjaya menaiki podium pada peringkat ketiga TGDT23 hari ini, Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu menegaskan bahawa beliau bersedia untuk perlumbaan seterusnya.

"Syukur Aiman masih berjaya mengekal jersi keseluruhan (jersi biru) selama tiga peringkat, esok penentuannya dan Aiman akan cuba kekalkannya.

"Setakat ini, Aiman akan fokus kepada jersi biru sahaja, untuk yang lain Aiman tidak akan usiklah (beri tumpuan)," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan TGDT23 peringkat ketiga di Pantai Peranginan Air Tawar, di sini hari ini.

Namun, Aiman juga menyedari perlumbaan yang akan berakhir di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu memiliki cabaran tersendiri.

"Kami (pelumba) sedia maklum, laluan ke Tasik Kenyir ini mempunyai bukit yang tertinggi, cabaran lebih berliku dan ia merupakan 'Queen Stage' bagi TGDT23 kali ini.

"Walau apa pun esok, Aiman akan cuba buat yang terbaik serta 'all out' untuk pasukan dan diri Aiman," ujarnya yakin.

Dalam saingan hari ini, pelumba kesayangan rakyat Terengganu yang mewakili Armed Forces Cycling Team, Mohd Harrif Saleh mengungguli podium dengan catatan masa 3:20:21 saat.

Harrif turut memenangi kategori 'sprint' hari ini, namun tidak berjaya merampas jersi hijau daripada rakan sepasukannya, Irwandie Lakasik yang mengekalkan jersi tersebut buat hari kedua berturut-turut.

 


Tag: