• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Air Mata Gembira Seorang Kakak

KEMAMAN, 27 Mei - “Berderai air mata apabila diberitahu kami akan diberi rumah baharu dan semua bayaran sewa rumah akan dibayar pihak kerajaan negeri,” kata Sofea Hanani Manaf ketika ditemui semasa operasi pemindahan.

Wanita berusia 23 tahun itu mengakui terharu apabila empat adiknya kini mampu hidup dalam keadaan yang lebih selesa selepas setahun menyewa di rumah daif.

Memahami kesulitan yang diharungi lima beradik itu setelah mengadakan tinjauan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat hadir membantu menyiapkan segala keperluan rumah Sofea hari ini.

“Sofea bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di Bandar Cukai dan hanya bergaji sekitar RM1,000 sebulan dalam keadaan menjaga empat orang adiknya sejak setahun yang lalu.

“Ibu bapanya pula bercerai dua tahun lalu dan membawa haluan masing-masing. Kini tinggallah Sofea yang menjaga dan membesarkan adik-adiknya,” ujar Hanafiah.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, keadaan rumah yang disewa mereka tidak lagi sesuai dan mereka telah dibawa berpindah ke Kampung Besut 1.

“Setelah berbincang, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pula bersetuju untuk membayar sewa bulanan rumah (baru) ini. 

“Saya juga telah membeli sebuah peti sejuk, televisyen, dapur gas, tilam, cadar, bantal dan sedikit buah tangan buat mereka. Rumah tersebut turut digantikan dengan tikar getah yang baharu

“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), MAIDAM dan pihak-pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu keluarga ini. Semoga bulan Syawal ini memberi sinar kehidupan yang baharu buat mereka sekeluarga,” tambah beliau.