KEMAMAN, 5 Mac – Suasana penuh emosi dan kesyukuran mewarnai Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bangunan Kediaman dan Tapak Pertanian DUN Kijal yang berlangsung di Dewan Badminton Kampung Ibok, semalam.
Seorang penerima, Zaleha Noh, 65 berkata geran tanah RTB Bukit Takal itu merupakan anugerah paling bermakna dalam hidupnya.
“Ini anugerah pertama yang saya terima daripada kerajaan negeri. Saya benar-benar bersyukur.
“Insya-Allah saya akan bina rumah walaupun mungkin ambil masa. Sekurang-kurangnya saya ada tanah sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan bertempat di Dewan Badminton Kampung Ibok baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh.
Seorang lagi penerima dari Kampung Ibok, Sukri Harun, turut melahirkan rasa terharu kerana tidak pernah menerima sebarang bantuan sebelum ini.
“Selama ini saya tak dapat apa-apa daripada mana-mana pihak. Jadi hari ini memang sangat bermakna buat saya.
"Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat dalam proses penyerahan geran hak milik tanah ini, InsyaAllah saya akan usaha untuk membina rumah,” ujarnya.
Untuk makluman, seramai 154 penerima menerima dokumen hak milik masing-masing dalam majlis berkenaan yang melibatkan RTB bangunan kediaman dan tapak pertanian di DUN Kijal.
Majlis itu menjadi detik bersejarah buat para penerima apabila penantian sekian lama untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.

Tag :